Hampir 2 tahun. Hidup sendiri tanpa ada sesiapa hadir mencampakkan nasihat dalam hati aku yang umpama batu ini.
Kalau adapun, aku akan masih tenggelam dalam kepercayaan sendiri. Kerana bagiku, manusia itu manusia. Hanya kisah pada sesuatu atau seseorang yang memberi manfaat pada diri mereka. Dan semakin lama, aku akui yang aku makin hilang identiti diri. Aku yang dulunya suka merancang, suka bermimpi, suka memperbaiki diri, kini hanya hidup untuk hari ini, tanpa fikir apa kesannya pada esok hari.
Ramai yang tahu, aku datang dari sekolah yang didikan agamanya itu rapi. Dari ibadah hingga pergaulan, semuanya dijaga dan diperhati. Perasaan dikelilingi oleh insan-insan yang cinta agama itu indah. Sehinggakan aku rasa bangga dengan apa yang aku ada. Aku punya rasa cinta terhadap Allah. Dan aku suka beribadah kepadaNya.
Tapi itu dua tahun yang lalu. Aku telah menjalani jalan yang paling panjang yang pernah aku jalani. Jalan dewasa. Di mana ego dan perasaan berlumba menguasai setiap keputusan yang aku buat.
Dan melihat pada apa yang aku lalui dalam 2 tahun ini, aku sudah gagal. Mungkin tidak gagal sepenuhnya, namun gagal untuk menjadi yang lebih baik. Malah, aku makin hanyut dalam alasan-alasan yang aku cipta sendiri.
Andai pagi-pagi yang dulu berteman surah Al-Waqiah, kini solat Subuh awal waktu saja menjadi sukar. Apatah lagi mahu menjejakkan kaki ke surau. Aku banyak meninggalkan yang sunat. Kerana aku rasakan aku mahu membaiki yang fardhu. Aku mahu solat lebih khusyuk. Aku mahu latih diri aku agar sentiasa solat pada awal waktu.
Pergaulan juga semakin tenat. Andai dulu aku takut berkomunikasi dengan lelaki, kini aku lebih selesa berteman dengan lelaki. Alasannya, mereka tidak begitu emosi. Keluar berdua itu dianggap biasa. Sakit, sebenarnya. Kerana jujur aku rasa bodoh. Bodoh kerana melakukan perkara yang aku tahu salah semata-mata untuk memenuhi hati kosong aku. Pelbagai alasan dan sebab aku cipta untuk menutup apa yang aku lakukan. Walaupun bukan bercinta, bukan bertepuk-tampar. Tapi of course, one thing leads to another. Sebelum terlambat, aku ingin mencegahnya.
Sedar atau tidak sedar, orang memerhati. Mereka melihat aku sebagai seorang gadis yang menutup aurat tetapi tidak menjaga sikap. "Mereka tidak mengerti." Ya, mereka tidak mengerti. Salah tetap salah.
Namun Alhamdulillah, aku masih mencari Tuhan di saat gembira dan sedih. Masih punya percaya dan keinginan untuk pulang. Alhamdulillah pada Tuhan yang memberi hidayah. Terima kasih ya Allah, kerana masih mahukan aku.
Mulai hari ini, aku akan menyambung semula blog ini. Dan kembali menulis. Menulis untuk berkongsi perjalanan aku menjadi muslimah yang lebih baik. Yang bukan sahaja menjaga aurat, malah menjaga segenap aspek hidup agar lebih keislaman.
Semoga aku berjaya.
Doakan.
Assalamualaikum. :)

No comments:
Post a Comment